Erra Fazira Kini Bertudung

Artis tersohor dan pelakon filem Soal Hati nekad berhijrah pada malam Nisfu Syaaban

KUALA LUMPUR - Artis terkenal, Erra Fazira akhirnya menamatkan spekulasi ramai apabila berhijrah memakai tudung litup pada malam Nisfu Syaaban Isnin lalu.

Erra Fazira atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, mengakui hasrat untuk bertudung telah lama wujud, namun terpaksa ditangguhkan kerana belum bersedia dan terikat dengan komitmen karier.

"Alhamdulillah, akhirnya Allah telah membuka pintu hati saya untuk berubah ke arah jalan yang lebih baik pada malam penuh berkat iaitu malam Nisfu Syaaban, Isnin lalu."   

 photo Tudung-Erra-Fazira-Bertuduung_zpssg0kcbgt.jpg
Muka depan Kosmo! edisi 04-06-2015

"Sebenarnya niat untuk bertudung semakin kuat sejak tahun lalu. Saya banyak bermuhasabah diri mengenai hijrah bertudung."

"Insya-Allah, saya berdoa dan berharap perubahan ini akan kekal sampai bila-bila," cerita artis terkenal ini ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Pelakon filem Soal Hati itu turut mendedahkan beliau kini lebih selesa dan tenang untuk berhadapan khalayak umum selepas beberapa hari memutuskan untuk bertudung. 

"Ramai yang memberikan sokongan apabila saya meluahkan kemahuan mahu bertudung. Orang yang paling membuatkan hati saya tersentuh ialah anak saya, Engku Aleesya," cerita Erra lagi. 

Terdahulu, Erra sering kali tampil dengan imej menutup kepala di khalayak ramai membuatkan cerita dia bakal bertudung penuh dalam masa terdekat menjadi tanda tanya. 

Paling ketara pada penghujung Mei lalu, apabila artis terkenal ini hadir ke majlis pelancaran sebuah jenama fesyen kanak-kanak milik artis dan pelakon Betty Benafe dengan memakai selendang. 

Erra Mencari Perubahan Dalaman    

Mengecapi hampir segala nikmat dunia bergelar selebriti dan artis terkenal, berada di puncak kegemilangan dengan puluhan judul filem pecah panggung, laris menghiasi dada media, digilai ramai dan serba-serbi kehendak mampu dipenuhi, beliau tetap wanita yang tidak boleh lari daripada fitrah. 

 photo tudung-hijab-erra-fazira_zpsan1h71ma.jpg

Erra akhirnya bersedia menunaikan kewajipan yang telah lama diamanahkan kepadanya iaitu bertudung dan menutup aurat. Itu satu-satunya hasrat yang tertangguh sekian lama. 

"Hasrat untuk bertudung itu telah lama tersimpan. Rasanya sejak tahun lepas lagi hasrat itu sering ditunda dari sehari ke sehari. Saya ada banyak komitmen kerja, padahal itu semua alasan yang dicipta untuk menangguh hasrat tersebut." 

"Sehinggalah pada malam Nisfu Syaaban (Isnin) baru-baru ini, perasaan itu bertambah kuat dan didorong oleh serba sedikit pemahaman saya terhadap maksud di sebalik kemuliaan malam tersebut," cerita Erra mula bertudung sepenuhnya Selasa lalu. 

Men cerita kan momen pada malam penuh keberkatan tersebut, kebetulan anaknya Engku Aleesya ada bersama. Sebelum tidur merek berborak ber cerita dan Erra sempat bertanyakan pendapat Aleesya bagaimana sekiranya beliau mahu bertudung. 

"Dia (Aleesya) bertanyakan semula kepada saya kenapa saya perlu bertudung. Saya beritahu kepadanya perkara itu wajib bagi semua wanita Islam, namun selama ini saya tidak cukup kuat untuk berbuat demikian. Saya luahkan kebimbangan dan rasa gementar saya kepadanya. Aleesya pula seperti memahami, dia tenangkan saya dan kata, semuanya akan okey." 

Keesokan harinya, sewaktu hendak menghantar Aleesya ke sekolah, dia asyik perhatikan saya. Sebelum masuk ke kereta, dia bertanya sama ada saya masih gementar atau tidak . Saya terkejut kerana sudah hampir terlupa tentang perbualan kami berdua pada malam sebelum itu." 

"Terdetik di hati, betapa sensitifnya Aleesya terhadap perubahan saya. Apabila dia beritahu bahawa saya kelihatan cantik saat bertudung, hati saya sangat tersentu," cerita Erra yang turut meluahkan kemahuan bertudung kepada ibunya, Azizah Zaik.   

Tambah Erra : "Selepas muhasabah diri dan bermonolog sendirian, pada malam itu saya menghubungi ibu bagi berkongsi getaran di jiwa. Ibu memberikan respons yang sangat positif dan menguatkan lagi keyakinan saya tentang hasrat yang satu itu."

Secara umumnya, perubahan imej seseorang penyanyi atau pelakon yang memilih untuk berhijab akan melibatkan persoalan tentang watak dan tawaran kerja yang terbatas. Erra juga ada memikirkan perkara tersebut. 

"Saya ada banyak komitmen, setiap bulan harus ada peruntukan perbelanjaan tertentu. Tipulah kalau saya tiadak terfikir soal rezeki. Perubahan ini nampak kecil tetapi kesannya besar dan itu semua tidak boleh dijadikan alasan. Saya harus kuat, kena terus berdoa dan tawakal kepada Allah swt." 

"Persoalan dan kebimbangan paling besar saya sebelum ini lebih kepada kekuatan dalaman. Adakah perubahan luaran saya nanti akan seiring dengan perubahan dalaman. Bagi saya, setiap orang ada bahagian dan rezeki masing-masing." cerita bekas isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin itu berhati-hati. 

Mengakui masih menadahkan periuk nasi terhadap bidang seni, Erra Fazira juga akur ada keterbatasan dalam karier yang bakal dilaluinya selepas ini. 

"Lakonan adalah periuk nasi saya. Saya tidak boleh berhenti melakukan pekerjaan ini. Saya harus jaga batasan biar sesuai dengan imej, tetapi kalau saya anak jutawan saya boleh terus berhenti berlakon," kata artis dikenali ramai ini dengan nada berseloroh. 

Cerita Erra Fazira lagi : "Tidak lama lagi saya terlibat dengan dua produksi drama, sebuah drama arahan Michael Ang dan satu lagi bersama Erma Fatimah. Kedua-duanya menawarkan saya watak wanita bertudung," kata Erra yang pernah melakonkan karakter bertudung bergandingan dengan Faizal Hussein menerusi filem Longkai pada tahun 2013. 

Erra Ikon Fesyen Muslimah    

Baru bertudung dan merasakan belum layak untuk bercakap tentang fesyen Muslimah, Erra bagaimanapun cukup sedar tentang tanggapan dan perhatian khalayak terhadap fesyen seseorang artis dan selebriti yang bertudung. 

"Saya tidak berani untuk bercakap lebih tetapi insya-Allah, dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan, saya akan berhati-hati dengan fesyen selepas ini," cerita Erra Fazira yang dipilih sebagai wajah koleksi terbaharu rekaan Rizman Ruzaini, Aurora. 

Trivia Erra Fazira 

  • Bergelar pelakon dan artis terkenal sejak tahun 1984 
  • Anak kelahiran Sungai Choh, Rawang, Selangor Darul Ehsan
  • Bekas Ratu Cantik Malaysia/World 1992
  • Pernah berkahwin dengan Yusry KRU pada tahun 2003, namun jodoh mereka hanya bertahan sehingga tahun 2006 sahaja
  • Selain bergelar model, pelakon dan pengacara, Erra juga pernah merakam beberapa buah album studio antaranya Erra Fazira, Aku dan Dia, 2.5 Sayang, Kini, Sampai Bertemu, Kini Kembali dan Ya atau Tidak
  • Selepas bercerai dengan Engku Emran pada Februari 2014 (mereka berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya), sehingga kini Erra belum ada perancangan untuk berkahwin lagi. 

Sumber : Kosmo! Edisi 04-06-2015 bersamaan 17 Syaaban 1436H
 

No comments: